Followers

GELABAH PEPERIKSAAN SEMAKIN HAMPIR?







Setiap kali menjelang atau ketika menghadapi musim peperiksaan pastinya pelajar di peringkat rendah, menengah dan universiti akan menghadapi tekanan. FATIN FARHANA JAPRE berkongsi beberapa cara untuk meminimumkan tekanan anda.
Umumnya tahap tekanan dihadapi oleh pelajar berbeza-beza mengikut tahap fokus mereka terhadap peperiksaan yang akan mereka duduki dan tahap persediaan yang mereka lakukan. Lazimnya pelajar yang mengambil berat terhadap pelajaran dan menginginkan keputusan cemerlang tentunya tekanan yang mereka hadapi lebih dirasai.
Bagaimana caranya menghadapi tekanan dalam keadaan ini? Tekanan pada saat akhir amat berbeza berbanding tekanan belajar yang lain. Mengapa? Tekanan pada masa ini, memerlukan anda terus mengulang kaji kerana peperiksaan yang bakal tiba. Sekiranya anda berhenti maka anda menghadapi risiko untuk gagal.
Jadi bagaimana caranya untuk menangani tekanan itu? Jujur penulis katakan kita tidak mampu menangani tekanan ini secara sepenuhnya tapi cukup sekadar untuk mengurangkan tekanan yang ada agar kita boleh terus belajar dan fokuskan diri kita. Penulis ingin berkongsi beberapa cara yang pastinya berkesan untuk membantu anda kerana ia juga banyak membantu penulis.
Persiapan awal harus dilakukan seperti mengulangkaji pelajaran dan latih tubi. Ini mampu membantu anda mengawal mental dan emosi tekanan ketika menduduki peperiksaan. Anda berkemungkinan akan lupa semua yang anda ulangkaji disebabkan gementar yang keterlaluan dan sebagainya. Jika perlu, minta nasihat daripada rakan dan guru untuk mengawal tahap gementar anda.
Justeru, keraplah menelefon ibu bapa anda sekiranya anda tinggal jauh daripada mereka. Lebih untung bagi yang tinggal bersama orang tuanya. Banyakkan berbuat baik pada mereka. Sesungguhnya doa mereka untuk anda adalah yang paling makbul. Anda juga dapat mengurangkan tekanan dengan bercerita masalah dengan ahli keluarga anda.
Selain itu, apabila anda tamat menjawab satu kertas peperiksaan dan kebetulan anda tidak dapat menjawab dengan baik maka janganlah terlalu memikirkannya. Ini kerana anda akan menjejaskan tahap fokus anda terhadap kertas peperiksaan yang akan anda duduki seterusnya.
Oleh itu, bagi memantapkan aspek kerohanian dan mentaliti anda dalam peperiksaan, ada baiknya anda berdoa dan bersolat memohon ketenangan dan ketajaman pemikiran untuk menghadapi peperiksaan. Keraplah mengulang kaji pelajaran di rumah.
Kebanyakan pelajar gemar mengulang kaji pelajaran di saat akhir. Inilah punca sebenar gementar yang tidak terkawal menyebabkan anda lupa semua yang anda pelajari. Maka, wujudlah nota kecil sebagai rujukan untuk dibawa ke dalam dewan peperiksaan. Anda dinasihatkan tidak melakukannya kerana ia akan menambah tekanan anda bagi mengelak ­ditangkap pengawas peperiksaan.
Belajar atas usaha anda sendiri lebih berkat ilmu yang dipelajari. Sekiranya anda menghadapi tekanan yang teruk ketika menduduki peperiksaan, anda boleh keluar mencuci muka atau minum air untuk meminimumkan gementar anda. Aspek pemakanan dan kesihatan diri juga penting untuk kecergasan tubuh badan dan kecerdasan otak semasa menduduki peperiksaan.
Sekiranya merasa tertekan yang amat sangat, lepaskan dengan segera. Jeritlah atau ketawalah sepuasnya. Lepaskan segalanya dengan segera tetapi jangan dengan cara yang salah. Anda boleh melepaskan tekanan itu dengan menyanyi atau melakukan perkara yang anda suka. Penulis harap kaedah di atas dapat membantu anda dan selamat berjaya bagi yang bakal menghadapi peperiksaan.

Back To Top