"SAYA sekarang berada pada tahun kedua di salah sebuah universiti awam. Saya akui sukar untuk berbahasa Inggeris. Sudah bermacam-macam cara dilakukan, namun masih susah untuk menguasainya.
"Bila tidak mahir bercakap dalam bahasa Inggeris, saya mula berasa malu dengan diri sendiri. Bila berada dalam kalangan rakan-rakan yang mampu bertutur dengan baik dalam bahasa tersebut, perasaan rendah diri mula menghantui.
"Pening kepala saya bila berdepan masalah ini. Kadang-kadang, nak belajar pun susah sebab kebanyakan bahan rujukan dalam bahasa Inggeris. Jika keadaan sebegini berterusan, saya akan hilang mood untuk belajar dan mahu terus bekerja tanpa memikirkan pengajian lagi," kata Ahmad Hakimi Mohammad.
Untuk mengatasi masalah tersebut, dia berjumpa dengan seorang kaunselor di kampus.
"Kaunselor beritahu, masalah tidak mahir berbahasa Inggeris merupakan perkara biasa yang sering melanda penuntut kampus. Beliau menasihatkan saya agar berusaha belajar dalam bahasa antarabangsa tersebut secara perlahan-lahan.
"Banyak petua yang dia berikan, antaranya kita perlu kerap menghafal ayat-ayat dalam bahasa Inggeris setiap hari.
"Kedua, cari kawan-kawan yang pandai berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Dengan kekerapan berbual dengan mereka, sudah pasti kita dapat bertutur dengan baik nanti," katanya.
Jelas Ahmad Hakimi, untuk pandai dalam bahasa Inggeris, dirinya perlu rajin membaca kerana dengan membaca dapat menambahkan kuantiti pembacaan dalam bahasa Inggeris.