KEMAMAN – Siri syarahan terakhir pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik di Terengganu mencipta sejarah apabila seorang remaja Kristian diislamkan sendiri oleh ilmuan ulung Islam itu di Padang Astaka, Chukai, di sini, malam tadi.
Nina Grace, 19, dari Johor mengucap dua kalimah syahadah tepat pada jam 12.05 tengah malam di hadapan kira-kira 40,000 orang ramai yang membanjiri syarahan itu yang bertajuk 'Muslim Choice: Dakwah or Destruction' (Pilihan Orang Islam: Dakwah Atau Kemusnahan).
Sejurus selesai melafazkan kalimah suci itu, remaja itu kelihatan sebak dan dipeluk beberapa wanita berada berdekatannya yang terharu kerana menerima saudara baharu.
Gadis kelahiran Filipina itu merupakan penuntut jurusan diploma kejuruteraan luar pesisir pantai Ranaco Education and Training Institute (Reti) Kampus Kijal.
Nina dengan tenang dan rela hati bersetuju untuk memeluk Islam pada sesi soal jawab selepas soalan yang diajukannya dijawab Dr Zakir.
Remaja itu yang mengakui mula mendalami Islam sejak berusia 13 tahun meminta penjelasan Dr Zakir sama ada dia sudah boleh dianggap sebagai seorang Muslim kerana semenjak mengenali Islam dia turut mengamalkan membaca surah al-Fatihah, ayat tiga Qul, dan ayat Kursi selain dia juga sangat menghormati agama Islam.
Bagaimanapun, Dr Zakir melontarkan kembali pertanyaan kepada gadis itu sama ada dia percayakan bahawa tiada tuhan selain ALLAH SWT serta percayakan Nabi Muhamad SAW sebagai pesuruh ALLAH dan remaja itu mengakuinya.
“Jika sudah percaya dengan dua perkara itu, kenapa tidak mengucap kalimah syahadah,” kata Dr Zakir sebelum penceramah terkenal dunia itu mengajar remaja berkenaan melafazkan dua kalimah tersebut.
Nina ketika ditemui berkata, sejak mengenali Islam ketika bersekolah di tingkatan satu, sudah menjadi amalannya untuk membaca surah al-Fatihah, ayat tiga Qul dan ayat Kursi setiap kali waktu lapang.
Lebih menyentuh hati, sejurus memeluk Islam dan dibawa urusetia program ke belakang pentas Nina dipakaikan tudung oleh isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria.
Selepas ceramah dan sesi soal jawab itu tamat kira-kira jam 12.45 tengah malam, Dr Zakir yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman juga meluangkan masa berjumpa dan bercakap secara lebih dekat dengan remaja itu di belakang pentas selama kira-kira setengah jam.
Siri ceramah keempat Dr Zakir sejak tiba di bumi Darul Iman pada 9 April lalu berkenaan bukan sahaja berjaya menarik kehadiran rakyat berbilang bangsa dan agama seluruh Terengganu, malah pengunjung pelbagai kaum dari Kelantan dan Pahang turut hadir.
Penangan Dr Zakir, kesemua hadirin yang hadir juga tidak berganjak dari tempat duduk walaupun hujan renyai-renyai turun ketika tirai ceramah itu dibuka dengan bacaan ayat suci al-Quran pada jam 9 malam.
Orang ramai yang mula memenuhi pekarangan Padang Astaka seawal jam 7.30 malam tetap setia menunggu untuk mendengar syarahan penceramah itu hinggalah hujan kembali reda kira-kira 15 minit kemudian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Reti, Ahmad Firdhaus Ramlan berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat kepada pihak media berhubung penuntutnya yang memeluk Islam berkenaan.
Kisah pengislaman Nina kini turut viral dalam media sosial terutama dalam Facebook dan rata-rata netizen turut mengakui terharu dan memberi kata-kata pujian.
Tag :
BERITA/NEWS
